News Update :

Mendadak Dangdut

picture of a pumpkin!!! Sinopis !!!
Lakonan Titi sebagai Petris menceritakan seorang penyanyi lagu berentak rock alternatif tiba-tiba bertukar secara mendadak kepada muzik genre dangdut.

Timbul rasa lucu, sedih, bimbang dan marah bercampur baur menjadi satu dan wujudlah satu rasa yang cukup selesa.

Bukan ingin memuji orang belakang tabir filem “Mendadak Dangdut”, tetapi filem arahan Rudi Soedjarwo manakala skrip dihasilkan oleh Monty Tiwa ini memang sarat dengan mesej yang positif untuk ditonton oleh setiap lapisan masyarakat.

Garapan filem ini begitu baik sekali dengan memasukkan unsur-unsur realisma yang tidak semua filem Indonesia tonjolkan.

Melalui teknik kamera ‘handheld’, babak ketika Yulia dan Petris berlari menyelamatkan diri daripada pihak polis menunjukkan keadaan pada masa itu yang kelihatan cemas dan takut.

Jadi goyangan kamera yang disengajakan itu membuktikan betapa kecamuknya perasaan mereka berdua.

Selain itu, unsur realisma diterapkan melalui pakaian, bahasa pertuturan dan tempat tinggal mereka memaparkan kemiskinan serta kelas ekonomi rendah yang mereka hadapi.

Yulia dan Petris yang biasa hidup mewah di bandar terpaksa memakai pakaian lusuh dan tinggal di rumah kecil yang tidak seindah dahulu dengan tidur bertilam nipis serta bertemankan nyamuk.





picture of a pumpkinTurut dipaparkan babak ibu Mamat yang kembali ke Indonesia setelah didera teruk oleh majikannya ketika menjadi pembantu rumah di negara Arab.

Paparan itu boleh ditafsirkan seolah-olah menyindir rakyat Malaysia. Seperti diketahui, sudah banyak isu kes majikan di Malaysia yang mendera pembantu rumah dari Indonesia.

Juga dipaparkan rakan lelaki Petris dan Yulia bernama Rizal (Dwi Sasono) merangkap ketua kumpulan dangdut “Senandung Citayam” yang mengumpul duit untuk menukar jantina.

Ia seolah-olah memaparkan situasi seorang lelaki yang ingin menukar statusnya kepada wanita dalam bentuk sindiran dalam humor (lelucon).

Dari segi lakonan Titi Kamal memang tampak berkesan melalui nyanyian lapan buah lagu dangdut dan aksi Titi yang berjaya melakonkan watak Petris dengan bersahaja walaupun lenggok tariannya keras.

Antara lagu-lagu hasil ciptaan Monty Tiwa yang dinyanyikan oleh Titi adalah Bunuh Reality, Jablai (Jarang dibelai), Mars Pembantu, Selalu ada, Buronan Cinta dan Dangdutkah Kita.

picture of a pumpkinKinaryosih juga harus diberi pujian kerana beliau juga memainkan peranan yang penting sehingga membuatkan penonton tersentuh dengan sikapnya yang tenang dan sabar menahan kerenah Petris.

Paling terharu apabila Yulia tetap menyayangi Petris walaupun Petris selalu menyakitkan hatinya.

Tidak hairanlah jika Titi Kamal dan Kinaryosih menerima banyak penghargaan antaranya Pasangan Terbaik, Pasangan Popular dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Anugerah Filem Indonesia 2007.

Filem indie ini turut memberitahu kepada khalayak tentang tugas utama penyanyi dangdut sebagai penghibur penonton supaya mereka melupakan kesusahan hidup dan masalah yang dialami.

Filem yang membelanjakan hampir RM800,000 ini bukan sahaja menghiburkan malah dalam masa yang sama mengajak penonton berfikir maksud-maksud yang terselindung di sebalik tirai “Mendadak Dangdut”.

No comments:

Post a Comment

 

© Copyright GALAXS212 2010 -2011 | Design by Den Rozak | Published by Site Den Rozak | Powered by Blogger.com.